30 June
Kenangan Masuk Surat Khabar METRO AHAD
30 JuneAssalamualaikum.. Hari ini Bella nak cerita sikitlah yang Bella pernah masuk "paper" kah!Kah! atas jasa baik wartawan Aniza. B...
Assalamualaikum.. Hari ini Bella nak cerita sikitlah yang Bella pernah masuk "paper" kah!Kah! atas jasa baik wartawan Aniza. Bukan nak bangga atau mendabik dada. Bukan cerita kejayaan yang perlu dibanggakan, hanyalah cerita dan perkongsiaan minat Bella. Minat dan juga impian Bella. Siapa je tak ada impian untuk mengelilingi dunia? Jadi sebelum surat khabar hancur adalah baiknya Bella tulis Kenangan Masuk Surat Khabar METRO AHAD di diari online Bella ni.
METRO AHAD, HARIAN METRO |
Cerita penuh Bella dalam ruangan Famili tulisan wartawan Aniza Zainudin. Jom Bella kongsikan soalan yang ditanya dan jawapan Bella, sebelum diedit. Cerita satu page ni korang dah baca kan? Bacalah yang belum edit ni pula. Lagilah menusuk kalbu gitew.
1. Kongsikan pertemuan anda dan suami secara terperinci?
Pertemuan Bella dengan suami bermula semasa kami melanjutkan pelajaran di POLIMAS Jitra Kedah pada tahun 2006. Kami bukanlah sekelas ataupun sama jurusan. Boleh di katakan jodoh kami yang kuat menemukan kami. Bella di dalam bidang kejuruteraan dan suami pula dalam jurusan perniagaan. Peratusan untuk berjumpa antara satu sama lain di dalam Poli boleh di katakan agak rendah dan sukar. Pertemuan pertama di bazar Ramadhan yang berdekatan dengan rumah sewa kami. Disitu majoriti penyewanya adalah pelajar Polimas. Bella langsung tak perasan dan suami pula tidak berani untuk tegur kerana menyangka Bella orang Siam dan bukan orang melayu. Mungkin kulit dan raut wajah Bella pada masa itu lain dari kebanyakan orang Kedah kebetulan negeri Kedah bersempadan dengan Thailand.
BERTUNANG 20.10.2010 |
Jodoh menemukan kami apabila suami yang mengambil jurusan perniagaan menyertai karnival jualan makanan di laluan utama Polimas. Bella yang berjalan untuk balik setelah habis waktu kelas lalu dihadapan gerai jualan mereka dan dia sangat terkejut apabila melihat Bella yang pada awalnya di sangkakan orang Siam rupa-rupanya belajar di tempat yang sama. Dia dengan segera berlari mengejar Bella untuk mendapatkan no telefon. Tapi sayangnya tidak sempat kerana pada masa itu Bella sudah pun di dalam van yang sedang bergerak. Setelah hampir 2 minggu, akhirnya kami bertemu sekali lagi di bazaar Ramadan yang sama. Bazar Ramadhan yang pertama kali suami jumpa Bella dulu.
Suami Bella secara drastiknya menghadang Bella dengan tangan di gerai menjual kuih dan menyerahkan telefonnya kepada Bella untuk mendapatkan nombor telefon dan seterusnya terus membuat panggilan untuk mengesahkan bahawa nombor tersebut adalah nombor telefon Bella yang betul. Yela, takkan Bella nak jual murah kan?. Susah tau zaman dulu - dulu lelaki nak mengorat. Takda Instagram, whatsapp, weChat dan Facebook. Semenjak itu kami terus berhubung sehinggalah ke jinjang perkahwinan. Alhamdulillah jodoh kami panjang.
NIKAH 11.11.11 |
2. Apakah yang membuatkan anda menerimanya sebagai suami?
Kesungguhan yang ditunjukkan untuk hidup bersama dengan Bella dan boleh dikatakan dia sentiasa ada semasa Bella susah ataupun senang. Dia akan cuba sedaya upaya gembirakan hati Bella dan memujuk secepat mungkin kalau Bella merajuk. Dia seorang yang cakap lepas dalam menegur, kasar dan agak garang tapi sebenarnya hatinya baik dan mudah tersentuh. Paling penting dia selalu buat lawak yang sentiasa membuatkan Bella ketawa dan senang hati.
3. Apakah persamaan antara anda berdua?
Persamaan dari segi perangai. Kami berdua sangat suka membantu, lembut hati dan sayang dengan orang yang terdekat dengan kami. Sama ada kawan, keluarga ataupun saudara mara. Kami sangat sporting dan saling menyokong apa saja pasangan kami buat. Persamaan dari segi minat pula, kami berdua minat menyanyi, bercuti dan mencuba makanan ditempat yang baru.
4. Apakah perbezaan antara anda berdua? Bagaimana anda berdua saling menyesuaikan?
Perbezaan sebenarnya lagi banyak dari persamaan. Bella sukakan pakaian yang berwarna ceria dan fesyen. Suami pula lebih sukakan warna gelap saja. Cara penyelesaiannya Bella hanya mengenakan pakaian yang over bila di majlis - majlis dan bergaya santai mengikut gaya suami kemana saja bila keluar bersama. Suami minat sukan. Pernah mewakili sehingga ke peringkat negeri Kedah dalam sepak takraw dan sukan bola sepak. Tapi Bella langsung tak minat sukan. Jadi, bila ada perlawanan bola misalnya Bella biarkan saja dia pergi dengan kawan - kawan. Banyak benda sebenarnya yang berbeza dan penyelesaiannya adalah salah seorang harus mengalah. Komunikasi adalah sangat penting dalam apa juga situasi.
SANDING 12.11.11 |
5. Difahamkan anda berdua sering bercuti, adakah itu minat yang anda berdua kongsikan bersama?
Betul. Kami sama - sama suka pergi bercuti tapi definasi bercuti kami berbeza. Minat untuk mengembara adalah minat Bella sebenarnya. Impian Bella untuk mengembara ke setiap negara yang ada didunia ini dan menjejakan kaki ke sana untuk melihat sendiri permandangan di tempat orang.Suami pula terpaksa ikut. Tak kan nak biarkan isterinya mengembara seorang diri kan?
Lama - kelamaan aktiviti ini turut menjadi kesukaan suami. Cuma definasi kami berbeza. Suami lebih semangat untuk ke taman tema, membuat aktiviti laut dan bersantai didalam hotel. Tetapi Bella lebih teruja untuk meneroka tempat baru seperti melihat pantai, melihat pemandangan, budaya dan melihat aktiviti setempat. Bella juga sangat teruja untuk mencuba makanan yang baru setiap kali bercuti. Bagi suami pula, cukuplah ada nasi bagi dia. Tapi selalunya suami akan mengikut saja susunan perjalanan yang Bella telah aturkan walaupun dengan berwajah penat.
6. Apakah yang membuatkan anda berdua tertarik dengan aktiviti melancong?
Macam Bella bagitahu tadi, aktiviti melancong adalah impian dan minat Bella. Suami menemani Bella mengapai impian Bella tu. Bella kalau boleh ingin mengembara kesetiap negeri disetiap negara. Contoh Indonesia. Bella mahu pergi merantau ke seluruh Indonesia. Tetapi suami tidak berminat. Bagi dia Indonesia sama saja mana - mana negeri pun. Bagi Bella, setiap negeri ada keistimewaannya. Jadi buat masa sekarang, Bella menjarakkan masa untuk melawat Indonesia tetapi kami tetap akan sampai suatu hari nanti. Bella kena mengalah untuk ke negara lain pula kerana suami rasa lain negara lain pengalamannya.
7. Kongsikan manfaat kepada anda berdua.
Manfaatnya sangat banyak. Dulu semasa Bella masih bekerja juga dalam bidang perbankkan, memang terlalu banyak tekanan. Bercuti membuatkan kita lupa seketika segala masalah dan kerja. Menjadikan kita lebih bersyukur dengan apa yang kita ada dan lebih menyangi negara sendiri. Betul, hujan emas dinegara orang. Hujan batu di negara sendiri. Baik lagi negara sendiri. Di samping kami dapat meluangkan masa berkualiti bersama semasa bercuti di negara orang.
SAND BANK MALDIVES 2019
|
8. Ceritakan apakah peranan anda berdua ketika merancang percutian? Mengapakah peranan itu dipertanggungjawabkan antara satu sama lain? Kelebihan atau sikap/ perangai pasangan dalam menguruskan peranan itu.
Percutian memang dirancang 100% oleh Bella, dari segi bajet, penginapan, pengangkutan dan susun atur perjalanan. Suami pula akan menjayakan rancangan dengan penjagaan masa semasa bercuti. Suami akan bagitahu Bella bila waktu sepatutnya kita kena gerak ke destinasi seterusnya kerana dia sangat teliti dengan waktu, jarak dan tempat yang hendak di tuju dan turut membantu Bella mengangkat beg yang berat.
9. Mengapakah peranan itu dipertanggungjawabkan antara satu sama lain? Kelebihan atau sikap/ perangai pasangan dalam menguruskan peranan itu.
Perancangan dan susun atur dibuat oleh Bella sebab percutian ini adalah untuk mencapai impian Bella untuk sampai dan meneroka tempat baru. Lagipun Bella lebih teliti dan tersusun. Suami pula bijak dan displin dalam mengikut masa dan kami akan berkerjasama untuk memudahkan perjalanan kami di sana. Bab mengangkat beg yang berat pula, mestilah suami sebab dia lagi kuat dari Bella. Lelaki kan? Lagipun tidak akan biarkan Bella mengangkat beg yang berat.
10. Apakah kelebihan apabila bercuti bersama pasangan sendiri?
Hanya dengan bercuti kami merasakan yang kami saling memerlukan antara satu sama lain sebab kami bercuti tanpa bantuan agensi pelancongan. Mengawal sikap panas baran kami. Sama - sama panas terutama bila lapar, sesat pula tu. Hubungan menjadi lebih rapat dan mesra. Lebih mengenali pasangan dan lebih memahami antara satu sama lain. Hari - hari macam berbulan madu gitew.
PHUKET THAILAND, 2015 |
11. Apakah pula kekurangan apabila berkongsi minat yang sama?
Kekurangan tu macam tiada. Malah lebih seronok dan bermakna disetiap perjalanan yang kami lalui dan membuatkan kami lebih teruja untuk melancong lagi.
12. Apabila anda berdua berkongsi minat sama ini, adakah ia mengehadkan aktiviti percutian anda bersama kawan2? Adakah suami menyekat?
Sebenarnya suami Bella seorang yang sangat supportive. Dia tidak pernah menghalang apa juga yang Bella minat dan nak buat selagi masih menjaga maruah dan menjaga status Bella sebagai seorang isteri. Cuma Bella yang selalu mahukan suami ada disisi untuk berkongsi saat - saat indah semasa bercuti. Bella lebih teruja dan merasakan percutiaan lebih bermakna hanya jika bersama suami. Cuma jika ia melibatkan aktiviti kumpulan yang tidak membenarkan suami turut serta, itu terpaksalah Bella turutkan. Bukan mengada - ngada, cuma Bella tak biasa bila suami tiada disisi. Lagipun selepas berkahwin ni, dialah sahabat, dialah kawan gaduh, dialah suami. Jadi memang jarang sangat Bella buat aktiviti bersama kawan - kawan. Kalau buat pun mesti dia akan ikut.
13. Berapakah kekerapan anda berdua melancong dalam tempoh enam bulan?
Setiap kali cuti hujung minggu memang kami tidak akan hanya duduk dirumah. Jika tiada apa - apa aktiviti kami akan pulang ke Kedah. Jika melancong ke luar negara pula, kami akan memilih tarikh - tarikh penting untuk melancong iaitu Bulan 3, hari lahir Bella. Bulan 4, hari lahir suami, Bulan 11 ulang tahun perkahwinan. Bercuti didalam negara juga kena tengok cuti yang masih berbaki sebab suami Bella bekerja. Lepas tolak cuti raya dsb, barulah Bella akan berkira - kira untuk melancong ke luar negara. Jadi kekerapan keluar negara sangat bergantung pada cuti yang suami ada. kadang kala dua kali kadang kala hanya sekali.
UNIVERSAL STUDIO JAPAN 2018 |
14. Bagaimanakah anda berdua merancang percutian? Pemilihan lokasi? Bajet?
Walaupun perancangn 100% dibuat oleh Bella, tapi pemilihan lokasi sebelum menempah tiket penerbagan adalah pilihan bersama. Ia penting untuk membuatkan kami sama - sama gembira bila sampai ke destinasi tersebut dan membuatkan suami Bella tahu dia mahu kemana. Jujur Bella katakan, kami adalah pengembara bajet sahaja. Jadi jika ada tiket penerbangan murah, barulah perancangan seterusnya akan dibuat. Untuk menjaga bajet dalam percutian juga, Bella selalu menempah percutian kami setahun sebelum. Perancangan ini memudahkan Bella untuk bersedia dari segi itinerary perjalanan dan mencari keistimewaan setiap tempat menarik yang bakal kami lawati.
Ia amat penting untuk meneliti kebersihan negara itu, tempat makanan halal dan keselamatan jika pergi berdua.
15. Selalunya lokasi manakah yang menjadi pilihan anda berdua? Dalam atau luar negara, kenapa?
Sama banyak kerana ke luar negara memerlukan cuti yang banyak dan bajet yang lebih besar. Jadi, jika kami perlukan percutian tapi cuti dah tiada, kami akan menggunakan sepenuhnya cuti hari minggu sabtu dan ahad. Percutian didalam negara lebih kepada mencari tempat makanan sedap yang baru dan mencuba menginap di hotel yang baru. Jika cuti masih banyak kami akan ke luar negara iaitu tempat yang kami tidak pernah jejak lagi. Sudah tentu untuk merasai pengalaman baru di negara yang baru.
Perasaan teruja untuk menjadi seperti orang asing yang bercakap seperti ayam dan itik yang masing-masing tidak faham antara satu sama lain tidak pernah hilang. Apa yang pasti, kami tidak akan pergi tempat yang sama apabila ke luar negara walaupun seronok mana pun negara tersebut ketika percutian pertama kami kerana masih banyak lagi negara yang kami belum sampai. Kalau pergi dua atau tiga kali tempat yang sama perasaan teruja akan berkurangan dan percutian tersebut terasa merugikan.
LOMBOK INDONESIA 2017 |
16. Terbaru, anda baru pulang dari mana?
Dalam negara ke Melaka iaitu percutian bersama kawan - kawan dan Ipoh Perak tajaan Impiana Hotel Ipoh. Luar negara Pattaya serta Bangkok dan percutian seterusnya dalam perancangan adalah ke Osaka, Kyoto, Nara dan Tokyo.Jepun.
17. Apakah ciri-ciri destinasi percutian anda berdua? Pantai/ tempat bersejarah/ pulau/ bandar etc…kenapa?
Kesemuanya. Tiada sekatan atau limit. kami boleh masuk dalam kampung atau bandar meneroka tempat baru adalah bagaikan satu kejayaan percutian buat kami dan kalau boleh kami mahu sampai ke semua tempat- tempat menarik yang ada.
18. Destinasi percutian impian anda? Kenapa ia jadi pilihan? Merancang bila untuk laksana?
Banyak. Salah satunya Paris bagi Bella sebab ia adalah kota cinta. Bella teruja sangat nak bermanja dengan suami bersaksikan menara Paris. Hahaha. Suami pula Abu Dhabi dia sangat teruja nak mencuba taman tema terbaru disana. Perancangan untuk melaksanakan adalah berdasarkan bajet yang terkumpul. Bella lebih teruja jika mengapai impian Bella dulu untuk mengembara ke setiap Asia dan kemudian barulah beralih ke negara Eropah. Ramai juga yang bertanya. Kenapa Bella tidak terus mengembara ke negara - negara yang lebih mengujakan di Eropah. Setiap orang impian tak sama. Bagi Bella, sekecil mana pun tempat itu, mesti ada keistimewaan yang tersembunyi. Kalau orang cakap “takda apalah tempat itu” Bagi Bella ada. Ia bagaikan satu kepuasan bila Bella dapat sampai ke setiap tempat tersebut dan melihatnya sendiri.
YOGJAKARTA INDONESIA 2019 |
19. Setakat ini, lokasi manakah yang memberi pengalaman dan memori indah buat anda berdua? Kenapa?
Australia dan Japan. Masyarakat sangat tersusun, displin dan merendah diri. Merasakan betapa bertuahnya Malaysia jika semua rakyatnya mementingkan kebersihan dan menyanyagi negara sendiri.
Setiap tempat ada cerita dan setiap perjalanan ada memori yang sukar diungkapkan. Hanya kami yang merasai dan tahu kemanisan dan kesusahan disetiap perjalanan. Terima kasih sebab sudi menulis dan berkongsi cerita Bella.
Cerita dan jawapan Bella yang panjang lebar tu, dah jadi satu page penuh saja. Ada juga soalan yang tak dimasukan.
Apa - apa pun terima kasih Aniza. Merasa masuk surat khabar. Nak jadi cover majalah je tak tercapai lagi ni. Hehehe.